Stesen Keretapi di Tanjung Pagar akan berhenti beroperasi mulai 01 Julai 2011. Rasa sayang kepada stesen tersebut tetiba datang dan terus timbul keinginan untuk ke sana. Ingin melihat sendiri tanah yang dimiliki Malaysia sepanjang laluan rail keretapi dan bentuk Stesen Tanjung Pagar itu sendiri. Pada awalnya rancang pergi bersama teman-teman akrab namun akhirnya terpaksa jua pergi bersama teman sepejabat. Tidak kisahlah, yang penting sempat juga menikmati suasana keadaannya.
17.06.2011 jam 11.30 pm : Bertolak dari Stesen KTM Kajang ke Stesen Tanjong Pagar Singapura. Dinasihatkan agar beli tiket keretapi untuk coach katil. selesa sikit... terutamanya masa balik nanti. Tiket pergi dan balik beli siap-siap di Malaysia.
Walaupun dijadualkan akan tiba pada jam 7.00 pagi tetapi akhirnya kami tiba jam 9.00 pagi di Stesen Tanjung Pagar. Masa yang lama diambil semasa keretapi berhenti di Pusat Pemeriksaan Keretapi Woodland Singapura. Tunggu dalam sejam, baru keretapi bertolak ke Tanjong Pagar. Sedang dalam perjalanan ke Stesen Tanjong Pagar ni sempatlah ambil beberapa foto pemandangan yang terlihat.
Luas juga tanah milik KTM ni... rasanya apa yang akan Singapura buat atas tanah ini selepas diambil alih?
Masih ada kehijauan disebalik kerancakkan pembangunan Kota Singa
Bila tengok rumah ni... teringat cerita Do re mi. Tetiba rasa sayu mengenangkan tanah ini akhirnya akan bertukar wajah
Dan akhirnya sampai jua ke Stesen Tanjung Pagar Singapura pada 18 Jun 2011 jam 9.00 pagi. Fuh letih...
Bila dah sampai... apa lagi terus rakam gambar kawasan sekitar Stesen Tanjung Pagar. Mungkin tiada kesempatan lagi berada di sini. Dengar cerita tanah laluan rail keretapi ini akan dimajukan. Mungkin yang tinggal hanya bangunannya sahaja...
Sepanjang jalan ada deretan kedai makan dan minum. Saat itu, teringat cerita-cerita zaman P.Ramlee
Salah satu gerai yang terdapat di Stesen ini. Sebaik sahaja selesai mandi di 'ladies' stesen ini, ambik sarapan dulu sebelum memulakan langkah seterusnya.
Lontong Singapura SGD2.90. Teh Tarik SGD 0.70
Lontong Singapura SGD2.90. Teh Tarik SGD 0.70
Dengan pengetahuan sejarah yang tidak sampai 10%, gagahkan diri melihat sekitar stesen ini yang mungkin buat kali terakhir. Selalunya, setiap struktur bangunan lama mesti ada cerita di sebaliknya. Namun, kali ini pengetahuan adalah 0. Rasa malu pada diri sendiri pun ada tapi rasa ingin tahu juga semakin meningkat.
Stesen Tanjung Pagar ini dirasmikan oleh Gabenor Inggeris di Singapura iaitu Sir Cecil Clementi pada tahun 1932. Tolak tambah maknanya stesen ini telah menjangkau usia 79 tahun dan juga bermaksud sudah 79 tahun stesen ini beroperasi menghubungkan Malaysia dan Singapura.
Berdasarkan daripada blog-blog yang saya baca, seni bina bangunan Stesen Tanjung Pagar mempunyai pengaruh kuat eropah dan dikatakan dipengaruhi oleh arkitek Stesen Helsinki Finland, Eliel Saarinen. Pintu utama stesen ini ditandakan dengan 4 patung yang mewakili simbol kepada tunggak Malaya iaitu Pertanian (Agriculture), Perdagangan (Commerce), Pengangkutan (Transport) dan Industri (Industry). Bahagaian atas setiap patung tersebut diletakkan huruf F,M,S, R yang membawa maksud (Federated Malays States Railways).
Masih mengekal papan tanda yang lama.
Mosaic berwarna menghiasi bahagian dinding atas yang berbentuk jalur panjang yang mana hiasan tersebut sebenarnya melakarkan peristiwa-peristiwa ekonomi orang malaya pada masa dahulu seperti tongkang di pelabuhan, pelombongan bijih timah, kereta kerbau di sawah padi.
No comments:
Post a Comment